Temuramah Bersama Aini Fatimah

Wajah mereka sering dilihat di hospital. Mereka adalah orang pertama yang melemparkan senyuman, bertegur sapa dan menyambut pesakit. Mereka adalah jururawat, orang yang membantu doktor dan menjaga pesakit untuk memastikan kesemuanya berasa disokong dan dijaga. Dengan pekerjaan yang agak mencabar berurusan dengan pelbagai jenis manusia setiap hari, bagaimanakah seseorang itu dapat melakukannya.? Jururawat navigasi kami, Aini Fatimah, akan memberitahu lebih lanjut tentang tugasnya dan berkongsi suka dan duka yang pernah dihadapi.

1. Boleh kongsikan serba sedikit tentang diri Aini?

Hai! Nama saya Aini Fatimah Ghazali dan berasal dari Negeri Cik Siti Wan Kembang, yang lebih dikenali sebagai Negeri Kelantan. Saya berumur 32 tahun, menetap di Nilai dan ibu kepada 2 orang cahaya mata. Sekarang ini, saya bekerja sebagai Jururawat Navigasi di Pink Ribbon Centre, Hospital Tuanku Ja’far Seremban, Negeri Sembilan.
Saya menamatkan pengajian saya dalan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang kejururawatan.

Kakitangan Pink Ribbon Centre HTJS (Aini di sebelah kanan) pada pelancaran bulan Pink Oktober 2023

2. Bagaimana Aini mula-mula berminat untuk menjadi Jururawat Navigasi?

“Saya memulakan kerjaya sebagai jururawat navigasi pada tahun 2019, mengambil peranan ‘maternity replacement‘ selama 3 bulan di Pink Ribbon Centre, Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang. Ketika itu, saya baru saja menamatkan pengajian sarjana dan menunggu masa untuk konvokesyen. Dalam masa yang sama juga, saya terlihat iklan jawatan kosong ‘Nurse Navigator’ yang dipaparkan dalam LinkedIn. Hati saya terdetik untuk mencuba benda baru dan dari situlah, segalanya bermula. Kerana sebelum ini, saya tidak pernah mendengar tentang Jururawat Navigasi (Nurse Navigator) dan kelainan ini yang menarik perhatian saya untuk menceburinya.

3. Bolehkah Aini menerangkan mengenai tanggungjawab dan peranan seorang Jururawat Navigasi di Hospital Seremban?

Jururawat Navigasi adalah orang tengah atau perantara diantara doktor dengan pesakit serta perkhidmatan kesihatan yang tersedia. Selain itu, tanggungjawab kami adalah untuk menemani pesakit, berganding bahu dan memimpin tangan mereka dari saat mereka melangkah masuk ke hospital sehinggalah mereka selesai rawatan.

Jururawat Navigasi adalah seseorang yang boleh dipercayai oleh pesakit untuk berkongsi sebarang masalah dan mendengar setiap keluh kesah pesakit sepanjang mendapatkan perkhidmatan rawatan kesihatan. Apabila menemui sesuatu halangan, isu tersebut dapat dikenal pasti dari awal dan pesakit boleh terus mendapatkan rawatan yang direkomendasi oleh doktor.

4. Adakah terdapat situasi atau kes yang mencabar yang pernah dihadapi Aini dalam pekerjaan seharian?

Antara salah satu kes mencabar yang saya pernah hadapi adalah menyakinkan suami pesakit untuk membenarkan isteri mereka mendapatkan perkhidmatan kesihatan. Kebanyakan wanita di Malaysia, sikap taat dan patuh dengan arahan suami sudah tertanam dalam diri mereka. Walaupun yang menanggung kesakitannya adalah si isteri, mereka akan turut mempertimbangkan pandangan dan pendapat suami atau ahli keluarga lain dalam membuat pilihan untuk mendapatkan rawatan.

Saya masih teringat satu insiden dimana suami pesakit tidak membenarkan si isteri untuk meneruskan rawatan di hospital. Suami pesakit yang segak berbaju kemeja dan kasut hitam yang berkilat dengan lantangnya berkata, “Saya tidak benarkan isteri saya mendapatkan rawatan di hospital! Ini penyakit buatan orang. Saya nak usaha cara lain dulu.” Nada suara si suami seakan ingin bergaduh dan suaranya bergema di seluruh ruang klinik. Dipendekkan cerita, si isteri tidak meneruskan rawatan walaupun selepas beberapa kali sesi kaunseling. Agak sukar untuk memupuk keyakinan diri seorang wanita untuk mendapatkan rawatan jika hal-hal seperti ini berlaku.

5. Bagaimana Aini membina hubungan dengan pesakit yang memerlukan bantuan navigasi di hospital?

Saya percaya kepada ‘first impression’. Kita kena mempamerkan wajah yang ceria, murah dengan senyuman, menyantuni mereka dengan nada yang baik serta bersikap terbuka dan mudah untuk didekati oleh pesakit-pesakit yang datang. Secara tidak langsung, ini dapat membina hubungan yang baik dengan pesakit kerana kami sudi dengar keluhan dan kesusahan yang mereka hadapi.

Selain itu, untuk setiap pesakit yang datang ke Pink Ribbon Centre, kami akan sertakan kad pink yang tertera nama dan nombor navigator yang boleh mereka hubungi. Kad pink ini juga akan dikepilkan sekali bersama kad temujanji klinik. Dengan ini, para pesakit dapat menghubungi kami pada bila-bila masa, terutama sekali jika terdapat sebarang masalah dan kesulitan. Lagi satu perkara yang ingin saya tekankan ialah untuk mengubah stigma dimana petugas hospital bersikap dingin, tidak mesra dan suka mengherdik para pesakit. Bukan semua yang bekerja di hospital begitu. Kita kena percaya bahawa ada manusia yang baik di luar sana yang mengambil berat tentang diri kita.

Dari kiri, Medical Assistant, Syahidah Hussin, Nurse Navigator, Aini Fatimah, Dr Mazwela Mohamed, Deputy Head of Community Outreach, Maheswari Jaganathan dan Community Navigator, Mallika Muniandi.

6. Bagaimana Aini membantu pesakit dan keluarga mereka dalam membuat keputusan berkaitan rawatan?

Salah satu faktor yang penting adalah memberi informasi yang tepat kepada pesakit sepanjang rawatan mereka. Apabila doktor menerangkan pilihan rawatan kepada mereka, saya akan memastikan komunikasi tersebut adalah komunikasi dua hala dan pesakit benar-benar faham dengan rawatan tersebut. Jika pesakit masih mempunyai keraguan, temujanji lain akan diberikan. Selain itu, saya akan menasihati pesakit untuk membawa seorang teman (ahli keluarga atau kawan rapat) yang dapat menemani mereka ke sesi temu janji doktor di hospital. Ini penting supaya pesakit mendapat sokongan emosi dan peneman mereka boleh membantu dalam mengingati butiran penting yang disebut oleh doktor.

7. Apakah kisah atau pengalaman bersama pesakit yang memberikan impak besar kepada Aini?

Saya teringat kisah seorang pesakit Orang Asli yang datang ke klinik kami. Pesakit datang ke klinik agak lewat kerana selepas diperiksa, dia didapati mempunyai kanser payudara pada tahap 4. Pesakit hanya bekerja di kampung seperti mengutip petai dan ulam-ulaman untuk dijualkan kepada pekedai. Untuk datang ke hospital, pesakit ini dengan payudaranya berluka, akan membonceng motosikal yang ditunggang oleh anaknya. Perjalanan untuk ke hospital tidaklah mudah kerana dia tinggal jauh dari jalan raya utama dan jarak rumah pesakit ke hospital adalah kira-kira 56km. Apa yang mengagumkan saya ialah pesakit ini tidak pernah tinggal temujanji doktor dan anak- anak dia sentiasa ada untuk memberi sokongan moral kepada ibu mereka. Kisah pesakit ini menyentuh hati saya dan membuka mata saya bahawa setiap pesakit yang datang ke hospital mempunyai pelbagai latar cerita disebalik mendapatkan akses rawatan ke hospital.

8. Apakah satu-satu kejayaan yang paling membanggakan bagi Aini dalam kerjaya sebagai jururawat Navigasi?

Saya merasa sangat gembira dan bangga apabila pesakit berjaya menyelesaikan semua rawatan mereka mengikut garis masa yang ditetapkan dan kembali bekerja seperti biasa. Isteri atau ibu adalah tiang seri kepada sebuah institusi kekeluargaan. Apabila mereka melangkahkan kaki ke hospital untuk memulakan rawatan, kehidupan ahli keluarga seperti anak-anak dan suami akan terkesan. Memulihkan kesihatan dan kemampuan ibu atau isteri untuk berfungsi dengan baik dan kembali kepada keluarganya adalah seperti mengembalikan sinar cahaya kepada kehidupan mereka.

Bersama ibu, Puan Wan Halilah, yang turut hadir untuk memberikan sokongan di booth Pink Ribbon Centre di Pinky Fun Run 2023.

9. Apakah misi atau matlamat jangka panjang Aini dalam kerjaya sebagai jururawat Navigasi?

Saya sangat berharap kesedaran mengenai kanser payudara di kalangan wanita bukan Sahaja di Negeri Sembilan tapi di seluruh Malaysia dapat ditingkatkan, dengan aspirasi agar wanita di luar sana menerima perhatian perubatan lebih awal. Ini akan membuka pintu bagi pelaksanaan intervensi klinikal dan rawatan sejak peringkat awal lagi. Selain daripada itu, saya ingin mengubah persepsi masyarakat mengenai kematian dan penyakit kanser payudara. Prognosis bagi pesakit kanser payudara menjadi lebih positif dan boleh diatasi dengan lebih berkesan apabila pesakit menerima rawatan pada peringkat awal dan kanser dikenal pasti sejak awal lagi. Dengan adanya Program Navigasi Pesakit, saya harap lebih banyak pesakit dapat menerima manfaat yang sepatutnya.

10. Bagaimana Aini menguruskan stres yang timbul dalam bidang kesihatan yang sangat mencabar ini? Boleh berkongsi tip atau amalan khusus yang membantu seseorang menjaga kesejahteraan mental dan emosi?

Memang tidak dinafikan, tugasan seharian sebagai jururawat navigasi adalah sangat mencabar. Setiap hari, saya harus berdepan dengan pelbagai masalah yang dihadapi oleh pesakit dan perlu turut serta menangani permasaalahan tersebut. Pesakit yang datang pula mempunyai pelbagai ragam dan kerenah yang perlu dihadapi seharian.  Tidak lupa juga dengan anak-anak kecil saya di rumah uang memerlukan perhatian penuh dalam kehidupan seharian mereka. Disebabkan semua ini, saya memang tidak boleh lari daripada tidak merasa stress. Oleh itu, saya rasa amat penting untuk meghabiskan masa yang berkualiti bersama keluarga dan orang tersayang disamping melakukan hobi kesukaan saya seperti memasak untuk menjaga kesejahteraan mental dan emosi. Apabila saya meluangkan masa untuk melakukan aktiviti yang saya gemari, saya dapat merasakan perubahan positif dalam diri saya. Saya merasa lebih ceria kerana mendapat peluang untuk mengisi semula aura positif dan menyebarkan tenaga positif kepada orang-orang di sekeliling saya sepanjang hari.

Anda juga boleh melakukan bahagian anda dalam membantu pesakit di Pink Ribbon Centre. Ingat, bila kita menderma, tiada jumlah yang terlalu besar atau terlalu kecil.

On the Donation page, under Step 3 > How did you hear about us? Please select ‘Blogpost’ from the dropdown options.

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started